Malam ini seperti biasa, seusai menunaikan solat Maghrib dan membaca surah Yasin, aku meluangkan masa seketika membuka laman 'muka buku'ku. Tiada tatapan menarik yang membuatkan aku untuk terus ber'muka buku'. Tapi, sedang aku membelek-belek 'muka buku', aku terpandang 'status' dari seorang teman. 'Status'nya itu menarik minatku. Seketika kemudian, sayu menyelubungi diri. 'Status' itu adalah perkhabaran berita kehilangan seorang teman sepengajian di Universiti Malaya pada suatu masa dahulu. Walaupun aku tidak berpeluang mengenalnya lebih dekat, tetapi perkhabaran itu setidak-tidaknya telah menjentik jiwaku dengan rasa hiba, pilu..dan pelbagai perkataan yang bisa menggambarkan perasaanku ketika ini.
Arwah menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.00 petang tadi dan akan dikebumikan pada jam 10.00 pagi esok (Jumaat). Aku tidak pasti arwah berasal dari Melaka atau Johor, tetapi berdasarkan komen teman-teman lain, arwah akan dikebumikan di Muar, iaitu kampung nenda arwah. Serasa sahaja ingin melihat arwah buat kali terakhir memandangkan lokasiku kini juga di Johor Bahru dan ku kira tidaklah sejauh mana untuk aku ke sana. Tetapi, esok adalah hari bekerja dan aku tidak dapat mengambil cuti sewenang-wenang, lagi pula aku telah mengambil cuti selama dua hari pada bulan ini. Biarpun begitu, doaku agar arwah sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.
Salam takziah buat keluarga arwah.
Jangan gusar, arwah tidak berseorangan di sana..
Allah sayangkannya dan sentiasa akan menemaninya.
Jangan gusar, arwah tidak berseorangan di sana..
Allah sayangkannya dan sentiasa akan menemaninya.
Al-Fatihah..
"Teman, pergilah.. andai itu mampu mengurang deritamu di dunia. Doaku, semoga engkau beroleh sejahtera di sana."




No comments:
Post a Comment