JellyPages.com

Thursday, June 20, 2013

Gadis Kalis Rasa

Assalamualaikum, bicara pembuka kata..
Saat ini dah pun pukul 2.31 pagi.. masih tak dapat lelapkan mata.
Gara-gara NESCAFE kutelan tadi gamaknya!

Ok. Tak nak buang masa.
Aku sendiri tak pasti coretan ku di bawah nanti samada puisi atau luahan semata.
Terpulanglah pada mata yang memandang mahu klasifikasikan sebagai apa ya..

GADIS KALIS RASA

Akulah gadis itu
yang jika dihulur salam mesra
kusambut penuh ria.

Akulah gadis itu
yang jika diberi salam rindu
tersimpul senyum malu.

Akulah gadis itu
yang jika ditawar salam kasih
berbunga hati tak tersisih.

Akulah gadis itu
yang jika dipinang bakal tunang
melonjak girang bukan kepalang.

Akulah gadis itu
yang terduduk malu di situ
saat ditanya mahukah aku.

Akulah gadis itu
yang jika diberi harapan
ku kata “kecil tapak tangan, nyiru kutadahkan”.

Dan
Aku juga gadis itu
yang jika kasih si dia berbalam
terpinga aku menanti jawapan.

Aku juga gadis itu
yang jika tersakiti
diam termutu pendam di hati.

Aku juga gadis itu
yang jika diselingkuh sang kekasih
acap kali kuterima masih.

Aku juga gadis itu
yang saat dilontar api bicara
umpama pedang tak bermata
maaf kupinta walau tak berdosa.

Aku juga gadis itu
yang saat ditinggal sang kekasih
terpaku daku meratap sedih.

Aku juga gadis itu
yang tidak dibenar membuka tanya
bila diucap menyendiri mahunya
bergolak hati, menangis semahunya
dan kuputus takkan lagi terbit walau sebutir bicara
itu kehendaknya,
dan ini takdirNya, aku redha untuk kesekian kalinya.

Aku jugalah gadis itu
yang lelah merasa letih
dengan permainan berbagai rasa
rasa yang mulanya enak ditelan
yang tak lut andai ditikam
akhirnya mula berlubang
ditembak peluru rasa
jatuh, aku kecundang.

Akulah juga gadis itu
yang bisa nikmati segala rasa
secara berulang
hingga di hujungnya kutemui jawapan
bahwa rasa-rasa itu sudah tak berasa
kerna
akulah gadis kalis rasa!

UyulhudaRazali
2.43 a.m
Khamis. 20/06/2013. Stulang Laut (ketika ini dilanda jerebu tebal). 





Saturday, June 8, 2013

Apa Mahu Aku


Sekejap terdetik di benakku
Terjentik di telingaku
Terbayang dek akalku
Terbuka mataku
Terlopong ngangaku
Apa ku mahu
Apa mahuku

Sekejap ini ku mahu
Sekejap ku mahu itu
Mana satu aku pun tak tahu

Sekejap azam menggunung melulu
Sekejap lemah dek rapuh imanku
Sekejap sekejap akulah itu

ku keliru
ku tak bersungguh menuntut mahu
ku tak mengesan mana sebenar arah tuju
keliru
keliru
terus keliru
aku buntu
cari hala tuju

Apa sebenar mahu aku?

Friday, May 31, 2013

Waiting For My Zauj

Assalamualaikum.. selamat malam.
Kepada..sesiapa jua yang sudi membaca..

Tiada perkara menarik untuk dikongsikan sebenarnya..
Aku buka blog, jari terus terasa ingin menari..
Sekadar ingin berkongsi rasa..
Di kala minda sedang buntu..
mencari idea untuk penulisan tesisku..
Kosong.. aku seolah-olah budak baru belajar
yang tak tahu apa-apa.
Ahh sudahhh.. mana pergi ilmu-ilmu yang kupelajari dulu?
Sebab itulah aku memilih jalan ini untuk kuteruskan hidup..
Memilih pelajaran kerana minatku mendalam..
Bimbang kalau-kalau ilmu kupelajari hilang terus..
Jika tidak dipraktikkan..
Kalau usia semuda aku ini sudah banyak yang kulupa..
apa lagi kalau umur makin meningkat..
Bimbang kalau-kalau tak dapat mengingat..
entah-entah semangat pudar, hilang minat!
Namun, untuk serius menjadi ahli akademik, kukentalkan semangat..

Ok.. itu soal buntu. Jadi sedikit merapu.
Lalu kuambil kertas kecil berwarna kuning dan ku coret
sebaris dua ayat buat si dia..



Buat bakal suamiku..
Aku tidak tahu siapa kamu..
Di mana kamu..
dan bila kita akan bersatu..
Yang aku tahu, kita pasti akan disatukan..
Dalam situasi penuh barakah..
Dan saat itu kaulah yang bergelar SUAMIku..
Akan ku tunggu detik manis dan paling istimewa itu..
Kita sama-sama berdoa ya bakal suamiku.. ^^

Baiklah, aku perlu tidur dahulu..
Selamat malam bakal suamiku..
Semoga cepat masa berlalu..
Maka cepat jua kita bersatu..
Atau mungkin aku pergi dahulu..
Tanpa pernah bersatu bersama kamu.. :(
Jangan gusar..jika tidak di dunia ini aku untukmu..
di akhirat sana kau dan aku pasti menyatu.. :)

Assalamuaikum.. ^^

Sunday, May 5, 2013

5 MEI 2013

Assalamualaikum..
Salam pilihanraya..salam sejahtera.

Hari ini awal pagi lagi dah bersiap-siap untuk keluar. Hanya satu tujuan, satu matlamat, iaitu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia. Hari ini, hari yang penuh bermakna buat kami, rakyat Malaysia. Inilah buktinya bahawasanya aku telah mengundi!


Ok.. Dakwat semakin pudar warnanya setelah dicuci berkali-kali. Kalau hilang terus bagus juga. Agak-agak bolehlah cuba mengundi lagi sekali.. Hikhik..

Hari ini, tidak mahu banyak bicara. Hanya menanti keputusan malam ini. Kepada yang belum mengundi, segera laksanakan tanggungjawab anda. SELAMAT MENGUNDI!! 


Friday, April 26, 2013

Cameron Kami Datang!! (Bhgn. 1-Hari Pertama)

Selamat petang..

Ini kisah lama. Tidak terlalu lama barangkali.
Kisah percutian gadis-gadis bergelar guru menikmati cuti persekolahan akhir tahun 2012.
Sengaja aku potretkan kisah kami di sini. Bimbang kalau-kalau mindaku tidak lagi berfungsi lantas tidak mampu lagi tuk mengingati. Makanya kenangan itu biar di sini ku semadi.

Kali ini, tidak banyak bicara. Kubiarkan sahaja gambar momen kami yang berkata-kata.

10/11/2012.
"Selamat Datang ke Cameron Highland"
Sangat teruja kerana pertama kali menjejakkan kaki ke sini. Pertama kali bagi diriku.
Mahu sahaja melompat-lompat dalam kereta.

Tiba sahaja di sana, kami 'check-in' di ............... (sudah lupa nama hotel), Brinchang. 
Harganya berpatutan. Tetapi, hati-hati dengan seterika ya! Silap-silap nanti dicas lebih. Terbang melayang RM50 kami.. Fuhhh~ 

Lokasi pertama kami, Ladang Teh Bharat di sekitar Brinchang.
Di sebelah kiri: Yana, tengah: Dayana, kanan: aku. Yang 'snap' gambar ini: Iema Si Tunang Orang.

Berempat. Itu dia Iema si tunang orang! Peace!~ 

Bunga. Seni yang terhasil dari DSLR Dayana.

Di Cactus Valley. 

"Wah, besarnya..!" Mereka kelihatan terkejut di situ. Dari sekecil-kecil kaktus sehingga yang besar, yang rendah, yang tinggi, semua ada. 

Masih berlatarbelakangkan pokok-pokok kaktus yang cantik belaka. 

Comel! 

Sempat lagi membeli payung di Cactus Valley. 

Suasana di Pasar Malam Brinchang, berdekatan balai polis dan balai bomba. 


Berjalan-jalan di pasar malam. Muka Iema kelihatan letih. Yana masih bertenaga.
Aku juga masih mampu mengukir senyum. Al maklumlah kali pertama, agak teruja.

Mungkin kerana lapar dan sejuk, ubi keledek pun kelihatan sedap. Bila dimakan, ternyata memang sedap!

Strawberi coklat. NyumNyum.. 

Buah jambu Cameron. Indah khabar dari rupa. Kami kecewa. :( 

Banyak lagi gambar kenangan kami di sana, tapi cukuplah sekadar ini sahaja menjadi tatapan. Gambar untuk hari kedua, akan datang aku paparkan. Sekian. 















Puisi Tidak Bernama

Assalamualaikum.. Salam sejahtera, salam pilihan raya :)
Al maklumlah dah semakin hampir hari mengundi. Pertama kali mengundi bagiku. Nak merasai sendiri suasana semasa berlangsungnya pengundian 5 Mei nanti. Terserlah keterujaannya di situ..

Ini bukan perihal mengundi. Bukan berkisar politik. Tiada kena mengena langsung. Hanya ingin memaparkan perihal diriku yang tiba-tiba sahaja mendapat idea mencipta puisi. Nah! Siapa kata kau tiada bakat! 2 jam bertugas menjaga peperiksaan bukanlah sia-sia semata. Bosan memanglah bosan. Makanya, bagi mengelakkan diri dari terus membatukan diri dengan kebosanan, sengaja aku ligatkan otak dengan nukilan ayat-ayat indah (mungkin indah..mungkin juga tidak..) bagiku. Caranya, minda bermain dengan kata-kata, badan pula bergerak ke hulu ke hilir dua tiga empat lima enam tujuh lapan kali bagi memastikan proses mencari idea berjalan lancar. Alhamdulillah, berkesan! Seuntai puisi terhasil sudah.. Makanya, silalah hayati, fahami dan tanggapi.

Mereka
diam seribu bahasa,
Mereka
bisu tanpa bicara
Mereka menyendiri tiada berita
Hilang di lautan sepi tak bercahaya.

Terkadang
tiada salahnya mereka
Barangkali dikurnia daya taqwa
Hati berbisik mengubah cara.

Kalian
Fikirlah waras, berbaiklah sangka
Ini hikmah Sang Pencipta
agar tidak terguris hati
tidak tercalar iman
tidak tergadai agama
Kerana sayang, Dia menduga
Dia punya kuasa segala
Pulanglah..
kembali kalian mengabdi diri
Pentadbir alam kekal menanti
Tuk kalian cintaiNya lebih dari cinta mereka.

Uyulhuda Razali,
26/4/2013.
1.26 a.m.



Sebuah puisi tidak bernama ditujukan untuk diri sendiri dan sebagai peringatan kita bersama. Setiap manusia pasti tidak terlepas melakukan kekhilafan. Berdosa. Bertaubat. Berdosa. Bertaubat. Dosa lagi dan lagi dan terus-terusan bertaubat. Pastinya ada antara kita seperti ini bukan? Sehingga akan ada suatu ketika kita merasakan bahawa kita tidak layak untuk syurgaNya. Seolah-olah Dia tidak menerima taubat kita. Saya juga pernah merasa sebegini. Namun kita perlu yakin dengan kekuasaanNya. Kerana Allah sangat suka bahkan gembira jika ada hambanya yang tidak jemu bertaubat sebenar-benar taubat walau berulang kali kita melakukan kemaksiatan dan kezaliman. Pintu taubat sentiasa terbuka luas untuk kita selagi ajal belum menjemput. Sabda Baginda s.a.w: "Sesungguhnya Allah s.w.t akan menerima taubat hamba-Nya selama roh belum sampai ke ghar-gharah (hampir nazak)". 

Bermohonlah. Jangan berdoa meminta hidup yang mudah. Tetapi berdoalah agar dikurniakan hati yang tabah   dalam melayari bahtera hidup sementara ini yang pastinya seringkali dilanda gelombang . Paling penting, berdoa agar mampu istiqamah setelah kita bertaubat.

Selamat malam. Malam yang sunyi berteman damai. Assalamualaikum. :)


Sunday, April 21, 2013

Akukah Berdosa?

Hitam pekat di suatu malam
Sedang dingin udara mengalun alam
Bicara sepi tanpa suara
Di lembah itu aku terpinga


Antara sedar dalam lena
Sikap insan berubah mula
Janji dahulunya bersumpah setia
Kini, akulah mangsa
Mangsa lalainya dua manusia

Mengapa wujudan aku begini lata
Sedang aku sebuah nyawa
Suatu kurnia wujud di dunia
Mengapa tegar mereka
Biarkanku sepi
malah tidak lagi punya nyawa
Mengapa aku dikafan begini
Cuma alas hitam membalut jasad

Mengapa aku dimakam di sini
Tanpa nisan tiada lahad

Sedang aku juga keturunan mulia
Cicit Adam suaminya Hawa
Apa lagi kujur badanku tidak berdosa
Jadi mangsa manusia alpa
















*Seuntai puisi luahan rasa si bayi malang buat manusia di luar sana agar tidak betah melakukan kerakusan dan kekejaman sewenang-wenang di muka bumi Allah ini..